Thursday, March 17

Tukang urut mati ditikam, anak angkat cedera parah

"Basuh lepas bunuh"


BEBERAPA jiran melihat mayat Demah (kiri) yang mati ditikam dua lelaki di Johor Bahru, semalam. 


JOHOR BAHRU - Seorang penjenayah sempat meminta izin untuk menggunakan air seorang penduduk bagi membersihkan darah yang memenuhi muka dan bajunya selepas menyamun dan membunuh seorang tukang urut wanita semalam.


Kejadian pukul 3 petang di sebuah rumah di Jalan Seniman, Kampung Sri Serdang di sini itu menyebabkan Demah Cinak, 43, mati di tempat kejadian. Anak angkatnya, Mahmudah, 35, yang turut berada di rumah ketika kejadian pula parah ditikam.


Demah yang ditikam di perut mempunyai status penduduk tetap manakala Mahmudah warga Indonesia yang bekerja sebagai tukang cuci.i berhampiran.


Seorang jiran, Norfarhana Zamir, 16, memberitahu, ketika kejadian dia sedang membasuh pakaian sebelum terdengar bunyi bising seperti orang bergaduh.


Katanya, sebaik keluar dia ternampak seorang lelaki bermandikan darah di muka dan bajunya sebelum penjenayah itu meminta  izin seorang jiran lain menggunakan air untuk membasuhnya.


"Selain dia, seorang lagi rakannya turut melarikan diri ke arah sebuah pasar raya dan lelaki yang membasuh kesan darah itu melarikan diri ke arah sungai berhampiran.


"Jiran ada bertanya mengapa dia bermandikan darah dan dia dengan selamba memberitahu ada orang telah dibunuh," ceritanya ketika ditemui di sini semalam.


Tambahnya, selepas suspek melarikan diri, dia dan jirannya pergi ke rumah Demah sebelum mendapati dua beranak itu terbaring di belakang rumah dalam keadaan berlumuran darah.


Menurut Norfarhana, ketika ditemui, Demah sudah meninggal dunia manakala Mahmudah sedang nazak dengan sebilah pisau masih terpacak di belakang badannya.


"Demah telah bercerai tiga bulan lalu dan pernah diugut bekas suaminya agar tidak membenarkan lelaki lain masuk ke rumahnya," katanya lagi.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Ruslan Hassan memberitahu, pihaknya telah menahan salah seorang suspek berusia dalam lingkungan 30-an beberapa jam selepas kejadian.


"Kita masih menyiasat motif sebenar tetapi tidak menolak kemungkinan ia bermotifkan samun. Anak angkat mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA)," katanya yang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

No comments:

Post a Comment