"Insiden mesin tebu tingkat azam belajar"
Nurul Amira, 15, terlantar di katil wad Hospital Sultanah Aminah (HSA), JB semalam selepas menjalani pembedahan kelmarin untuk menyambung kembali urat tangan kirinya yang terputus.
JOHOR BAHRU - Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kelapa Sawit, Nurul Amira Murjini, melahirkan penuh kesyukuran apabila doktor Hospital Sultanah Aminah (HSA) berjaya menyambung kembali urat yang putus selepas tangan kirinya tersepit pada mesin tebu ketika membantu perniagaan keluarga minggu lalu.
Nurul Amira, 15, yang trauma mengenang kejadian ngeri itu tetap berdoa untuk kesejahteraan dirinya dan kejayaan doktor itu memberi semangat kepadanya untuk terus menyiapkan diri menghadapi Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Dalam kejadian itu, Nurul Amira bernasib baik kerana tangan kirinya tersepit pada komponen mekanikal pemerah tebu terbabit, bukannya termasuk ke dalam mata mesin berkenaan yang mengisar tebu yang ditolaknya.
Berikutan trauma, Nurul Amira enggan bercerita mengenai kejadian yang dialaminya itu apabila lebih banyak mendiamkan diri ketika ditanya mengenai insiden terbabit.
Ibu mangsa, Sulastri Weriojo, 40, berkata keluarga merasa lega melihat perubahan susulan pembedahan kelmarin apabila Nurul Amira yang juga anak bongsu daripada dua beradik itu sudah mampu menggerakkan tangan kirinya.
"Semalam Adik (nama timangan Nurul Amira) sudah selamat dibedah bagi menyambung kembali urat tangan yang terputus akibat insiden itu dan saya bersyukur semuanya berjalan lancar seperti dirancang.
"Kami tahu beliau trauma dengan kejadian yang menimpa dirinya namun, saya memberi kata semangat supaya tabah menempuh dugaan hidup," katanya kepada Berita Harian yang melawat remaja itu di HSA, semalam.
Sulastri berkata, keluarganya berterima kasih kepada doktor dan juga jururawat di HSA yang bertungkus-lumus membantu Nurul Amira selepas dipindahkan ke situ dari Hospital Kulai Jaya.
Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari pada Selasa minggu lalu, tangan kiri Nurul Amira separas siku hampir hancur akibat tersangkut pada komponen mesin tebu ketika membantu ibunya di gerai keluarga itu di Batu 21, Jalan Kulai, Johor Bahru.
Dalam kejadian itu, Nurul Amira terpaksa menahan kesakitan selama 15 minit sebelum tangannya dikeluarkan sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Kulaijaya yang dikejarkan ke lokasi terbabit.
No comments:
Post a Comment