Friday, March 25

Apa yang Zierold lihat???

"DOKTOR, anak tuan sedang mendengar perbualan kita. Dia ada di belakang pintu," beritahu Maria Reyes Zierold, seorang wanita keturunan Mexico. Matanya tertutup rapat.


"Oh, yakah?" jawab Dr. Pagenstecher, doktor berbangsa Jerman sambil menulis. Dia tidak merenung pun wajah pesakitnya itu.


"Saya berkata benar. Kalau tak percaya, tuan boleh tengok sendiri," ujar Zierold meyakinkan Dr. Pagenstecher.


Doktor itu terus memeriksa kertas laporan perubatan Zierold yang menghidap insomnia. "Anak doktor sedang berada di balik pintu. Cubalah tengok," pinta Zierold yang masih memejamkan mata.


Walaupun kurang mempercayainya, Dr. Pagenstecher bangun melangkah ke muka pintu. Dia memulas tombol. Benar seperti kata Zierold, anaknya sedang berdiri menekap telinga pada daun pintu, cuba mendengar perbualan mereka!


Hari itu, pada tahun 1919 Dr. Pagenstecher mencatatkan peristiwa berkenaan dalam diarinya. Kebolehan istimewanya Zierold membuatkan Dr. Pagenstecher tertarik untuk membuat kajian yang lebih mendalam terhadap wanita tersebut.


Doktor itu meletakkan seutas tali di tapak tangan wanita tersebut, kemudian melakukan hipnosis. Beliau meminta Zierold memejamkan mata, kosongkan mindadan ceritakan apa yang dilihatnya.


"Saya nampak sebuah medan perang, mereka berbalas-balas tembakan. Suasana ketika itu sejuk dan berkabus," terang Zierold dengan mata terpejam sambil jari-jemarinya tidak lepas daripada mengusap tali itu.


"Kemudian ada sebiji bola besar melayang laju di udara," sambung Zierold lagi. "Bola itu jatuh betul-betul di tengah 15 orang tentera yang berada di situ. Tubuh mereka hancur berkecai!," dengan penuh emosi dia menceritakan mengenai apa yang dilihatnya.


Zierold terus memejamkan mata, mengusap-usap tali itu, seterusnya memberitahu; Askar Jerman itu berkata; "Inilah kali pertama saya melihat susana perang."


Selepas dihipnosis, Zierold serahkan tali berkenaan kepada Dr. Pagenstecher. Tali yang masih utuh itu adalah pengikat leher anjing salah seorang daripada askar yang terlibat dalam peperangan yang dilihat oleh Zierold.


Kajian yang dijalankan oleh Dr. Pagenstecher mendapat perhatian Walter Prince, ahli Persatuan Kajian Psikik Amerika Syarikat. Dia tertanya-tanya; Adakah Zierold mendapat petunjuk melalui alam ghaib atau seorang ahli nujum? Benarkah beliau mempunyai kebolehan membaca fikiran orang lain (telepati) atau mampu melihat sesuatu yang telah berlaku (clairvoyant)?


Untuk itu Prince menjalankan satu ujian dengan memasukkan cebisan dua helai sutera yang sama warnanya ke dalam dua buah kotak yang juga serupa saiz dan bentuknya. Zierold diminta memegang salah satu daripada dua kotak tersebut, proses hipnosis dilakukan.


Apa yang berlaku seterusnya?


"Saya lihat ada sebuah gereja di Mexico. Suasananya sungguh meriah seperti sedang berlangsung upacara tertentu. Saya juga nampak beberapa orang pemuda Red Indian sedang rancak menari."


Zierold memegang kotak kedua pula. Dia mengusap-usap kotak itu dan bersuara, "Ramai orang sedang sibuk bekerja. Mereka menghasilkan reben-reben yang berlainan jenis dan cantik. Mereka bertutur dalam bahasa Perancis."


Zierold menyerahkan semula kotak-kotak berisi reben itu kepada Walter. Rupa-rupanya gambaran yang diberikannya bermaksud: Cebisan sutera dalam kotak pertama diambil daripada pentas sebuah gereja di Mexico, manakala yang kedua pula dari sebuah kilang di Perancis.


Benarkah apa yang dikatakan oleh wanita tersebut? Prince mengangguk-anggukkan kepala!!!

No comments:

Post a Comment