'Mayat kelindan lori ditemui dalam keadaan bogel, berulat'
MAYAT seorang kelindan lori yang ditemui mati berbogel dan sudah berulat di dalam sebuah bilik di Kota Damansara, semalam.
KOTA DAMANSARA - Seorang kelindan lori ditemui mati dalam keadaan berbogel dan berulat di rumahnya di tingkat 12 Blok A Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara semalam.
Mangsa, L Manamohan, 49, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri terbaring di atas tilam di salah sebuah bilik di rumah tersebut.
Kematian mangsa disedari setelah jiran di tingkat bawah rumah mangsa yang terhidu bau busuk kira-kira jam 2 petang.
Jiran terbabit, Jumardi Saharan, 38, berkata bau busuk mula disedari pada waktu tengah hari.
"Ibu saya yang tegur pasal bau busuk dan bila saya periksa bau itu datang dari tingkat masalah yang sama dihadapi oleh jiran mangsa," katanya.
Menurutnya ketika pemeriksaan dibuat, pintu rumah mangsa tidak berkunci dan hanya disendal dengan kerusi.
"Bila masuk ke dalam bau busuk datang dari sebuah bilik yang berkunci dan kami terpaksa pecahkan pintu dan menemui mangsa dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri," katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, sepupu mangsa, S Sathasivam, 43, berkata kali terakhir mangsa dilihat membeli rokok pada malam Isnin lalu.
"Selepas itu kami tidak pernah melihat kelibatnya sehinggalah kami diberitahu mengenai penemuan mayatnya," katanya.
Difahamkan mangsa sudah bercerai dengan isterinya dan tinggal seorang diri sejak lebih setahun yang lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian sebagai mati mengejut dan siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sudah meninggal dunia sejak tiga hari yang lalu.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat. - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment