Wednesday, March 30

Ahli geng Mat Ju diberkas

KUALA LUMPUR - Polis memberkas tiga ahli geng Mat Ju yang aktif melakukan 10 kes pecah rumah di Lembah Klang dalam operasi khas, baru-baru ini.


Ketuanya dikenali Mat Ju bagaimanapun meloloskan diri sewaktu serbuan itu.


Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, polis mengesan semua suspek selepas seorang mangsa membuat laporan pada 22 Mac lalu.


Katanya, mangsa yang juga pengurus teknologi maklumat berusia 32 tahun itu mendapati tingkap rumahnya terbuka, kira-kira jam 7.30 pagi.


Katanya, empat bentuk cincin emas dan wang tunai berjumlah RM4,000 dilarikan suspek.


Susulan itu, kita berjaya mengesan empat suspek termasuk seorang wanita, menaiki sebuah kereta Honda Stream di Lembah Pantai.


Suspek memecut sehingga melanggar tiga kereta di tepi jalan sebelum tiga daripada mereka diberkas di Seksyen 16, Petaling Jaya setelah kenderaan terbabit terbabas," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, semalam.


Katanya, pemeriksaan menemui pelbagai senjata antaranya parang, pisau dan alat renjatan elektrik serta alat pecah rumah.


Beliau berkata, turut ditemui wang tunai, dompet, kad kredit dan kad bank dipercayai milik mangsa samun.


"Kereta terbabit dikenal pasti kenderaan curi yang dilaporkan hilang di Kajang baru-baru ini," katanya.


Wan Abdul Bari berkata, suspek direman mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 akta sama untuk siasatan.

No comments:

Post a Comment