PUTRAJAYA - Tribunal Tuntutan Pengguna semalam memerintahkan syarikat pakar pemuliharaan rambut Yun Nam Hair Care Sdn Bhd membayar balik RM14,986 kepada bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Emeritus Datuk Dr Sulaiman Md Yassin dan isteri.
Presidennya, Datuk Abu Bakar Awang membuat keputusan itu selepas mendapati syarikat itu melanggar kod perniagaan dan memerintahkan bayaran perlu dilakukan kepada pasangan terbabit dalam tempoh 14 hari.
Dr Sulaiman yang berpuas hati dengan keputusan itu berkata, beliau dan isterinya, Datin Noor Rohani Mohd Noor bersetuju mengambil pakej rawatan rambut bernilai RM15, 600 (RM7,800 seorang) dengan bayaran ansuran RM650 sebulan, setelah dimaklumkan mereka mempunyai masalah kulit kepala, kekurangan nutrisi, berminyak serta berkelemumur.
Pasangan itu juga membayar RM2, 776 bagi membeli beberapa produk seperti set losyen penyubur dan pembersih rambut ketika sesi rawatan percuma di Mid Valley pada Mei lalu.
"Selepas rawatan itu, dia (Yun Nam Hair Care) meminta kita menambah program lain berjumlah RM15,000 lagi. Saya berasa ia tidak wajar.
"Saya berhenti dapatkan rawatan dan meminta tidak lagi memotong wang melalui kad kredit, tetapi diteruskan.
"Saya menulis dua pucuk surat, tetapi mereka tidak jawab. Jadi, saya bawa ke Tribunal," kata Dr Sulaiman. - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment