Apabila kejadian ragut semakin menjadi-jadi akhir-akhir ini, kita semakin takut hendak berada di lokasi terbuka. Kerap kali apabila berada di ruang legar, di tempat awam, kita bagaikan seekor hamster yang terlepas daripada kandangnya. Seperti hamster, akan terjengah sana, terjengah sini.
Orang keliling seperti musuh. Sesiapa sahaja yang datang rapat dengan kita akan dipandang atas bawah. Beg tangan dan segala harta yang ada pada diri dikepit erat. Bukan tidak biasa kita menonton dan membaca dalam akhbar, insiden ragut ini kebanyakannya membawa maut.
Wanita adalah sasaran utama peragut. Awas juga daya tarikan pada kertas atau segala pamplet yang diletakkan di bawah wiper. Itu adalah perangkap. Insiden langgar, keluar dari kereta dan diragut lalu kereta dilarikan juga kerap berlaku. Terjerit-jerit di tepi jalan.
Perempuan jugakah yang dipersalahkan? Sedikit sebanyak ya. Kesalahan ini dikatakan berpunca daripada perempuan disebabkan peragut itu lelaki yang menggunakan daya kekuatannya. Mangsa ditolak. Beg tangan dirampas. Barang kemas direntap. Kemudian apa lagi? Silap-silap diheret masuk ke kereta, dibawa lari, dirogol dan dibunuh.
Malanglah hamster perempuan itu... Seperkara lagi, kebanyakan wanita sengaja menjebak diri sendiri. Kereta seperti kedai mainan. Penuh dengan anak patung. Bergayutan. Ada beruang, ada burung, ada rama-rama, ada anak patung, ada kucing, ada arnab.....
Sahlah itu kereta perempuan. Diparkir pula di tempat yang terlindung, agak jauh daripada kawalan keselamatan. Hendak ditambah cerita, keadaan sudah gelap ketika keluar dari pejabat. Persekitaran lengang. Si peragut yang sudah sedia dengan modus operandinya, menunggu sahaja 'hamster'itu keluar dari pejabat.
Banyak kes ragut di tempat letak kereta berpunca daripada kesilapan ini. Barang-barang itu menjadi ejen pemikat dan jelas menceritakan siapakah empunya kereta itu. Banyak kes berlaku apabila pemandu wanita itu baru sahaja masuk ke kereta. Belum sempat menutup pintu kereta, pisau sudah berada di leher.
Ini adalah nasihat polis - wanita jangan hias kereta yang boleh menggambarkan sesebuah kereta itu kepunyaan wanita. Jangan ada anak patung. Jangan ada stiker yang menyatakan anda wanita. Biar penjenayah sukar membezakan, itu kereta lelaki atau wanita.
Memang cara ini bukan seratus peratus dapat mengelak daripada diragut, namun sekurang-kurangnya kita berusaha mengelirukan mereka. Maka, simpan sahaja si Kitty, si Pooh dan segala hiasan di rumah. Jangan dibawa bersiar-siar.
Sedih mengenangkan anak-anak yang tinggal apabila seorang wanita berstatus ibu diragut dan menemui ajalnya. Hajat murni keluar bekerja untuk membantu keluarga. Rupanya ajal yang menerpa. Padahal wang saku yang ada dalam beg sandang ketika diragut hanyalah RM2.
Ada juga kejadian yang lebih menyayat hati apabila mangsa ragut adalah ibu muda yang sedang hamil. Anak dan ibu maut sekali gus. Pernah juga terbaca berita bahawa tanpa sedar, si anak yang menjadi peragut telah meragut ibu kandungnya sendiri. Inikah yang kita mahu?
Desakan hidup, keperluan material dan gaya hidup yang tidak menentu menjadi punca kepincangan ini. Kita tidak boleh meletak kesalahan kepada si peragut secara keseluruhan. Mereka yang sudah terjebak, tidak boleh terus dibiarkan terjebak. Bantuan dan bimbingan untuk mereka mestilah berterusan.
Saya percaya ramai wanita lain sudah tidak larat untuk selamanya menjadi seperti 'hamster'. Peluang untuk hidup hanya sekali. Tidak mahulah peluang ini dilepaskan dengan mudah dalam tangan penjenayah. Pendek kata, kita tidak mahu mati mudah dan sia-sia sahaja hilang nyawa dalam tangan orang yang panjang akal.
Sebaik habis membaca artikel ini, cuba fikir semula masihkah kita ingin kekalkan status kereta kita sebagai kedai mainan bergerak yang diusung ke sana ke mari? Sebabnya, lagi banyak anak patung bergayutan dalam kereta, lagi rancak ia melambai penjenayah datang....!
*Artikel ini dipetik dari akhbar Sinar Harian
Penulis asal: Sri Diah Shaharuddin, Pengurus Besar Grup Buku Karangkraf
No comments:
Post a Comment