Anggota Jabatan Pertahanan Awam memegang anak buaya yang ditemui di Sekolah Kebangsaan Kampung Datuk Abu Bakar Baginda, Kajang semalam
KUALA LUMPUR - Sekumpulan pelajar yang menghadiri kelas tuisyen di Sekolah Kebangsaan Kampung Datuk Abu Bakar Baginda, Kajang dekat sini gempar apabila menemui seekor anak buaya sepanjang kira-kira satu meter di dalam longkang sekolah itu petang semalam.
Menyedari kehadiran reptilia itu, pengawal keselamatan berusia 25 tahun yang bertugas ketika itu segera menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Putrajaya kerana bimbang keselamatan pelajar terancam.
Ketua Operasi JPAM Putrajaya, Koperal Hafizan Azmi berkata, anak buaya itu dipercayai tersesat dari Sungai Kuala Langat yang terletak berhampiran sekolah itu.
Menurutnya, sepasukan anggota jabatan itu yang bergegas ke tempat kejadian pada pukul 6.30 petang menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan reptilia itu dari dalam longkang.
"Pihak kami mengambil masa hampir empat jam untuk menjerut leher anak buaya tersebut ekoran keadaan longkang yang agak sempit. Sebatang besi panjang yang diikat dengan botol digunakan untuk menolak anak buaya tersebut," katanya.
Hafizan berkata, pihaknya mengalami kesukaran untuk menjerut leher anak buaya tersebut disebabkan kedudukannya yang berada di tengah-tengah longkang.
Katanya, salah seorang daripada anggotanya yang bertubuh kecil terpaksa masuk ke dalam longkang untuk menjerut leher buaya tersebut.
Beliau menambah, anak buaya yang berjaya dibawa keluar itu kemudian dihantar ke pejabat JPAM Putrajaya sebelum dirujuk kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). - Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment