LETIH, lesu dan bingung memikirkan apa sebenarnya terjadi terhadap Siti Balqis Mohd. Nor, 22, yang mesra di sapa dengan panggilan nama Siti ini. Dia tidak mengerti punca sebenar apabila dirinya sering kali ghaib dan dibawa ke tempat-tempat yang sukar dijangka.
Setiap kali pulang dari alam ghaib, raut wajahnya kelihatan sugul dan tidak bermaya. Kelibat makhluk berwajah anjing dan berbulu menyerupai babi sering kelihatan di segenap penjuru rumahnya di Kampung Gong Nangka, Apal, Besut, Terengganu sehinggakan dia sudah lali dengan keadaan tersebut. Rasa takutnya terhadap makhluk itu semakin lama semakin hilang. Dia sudah penat melayan kerenah makhluk-makhluk itu yang mengusungnya ke sana sini.
"Bayangkan saya dibawa ke suatu tempat yang jauh jaraknya dari rumah saya dalam masa yang sangat singkat oleh makhluk-makhluk itu. Saya benar-benar letih dengan kejadian yang berlaku ini. Malah saya sentiasa berdoa kepada Tuhan supaya peristiwa aneh ini tidak lagi berlaku dalam hidup saya.
"Saya kasihankan keluarga terutama mak yang bertungkus-lumus mencari ikhtiar mengubati penyakit misteri saya ini. Kami pun bukannya orang senang. Kadangkala saya sedih dan menangis mengenangkan nasib yang menimpa diri," jelas anak sulung daripada empat beradik itu dengan nada suara yang lemah.
Rentetan peristiwa misteri itu, Siti Balqis mengalami sakit-sakit badan dan sering menangis kerana tidak dapat menahan kesakitan gejala misteri itu selain menjadikannya letih kerana banyak berjaga.
Terpijak kaca
Bercerita mengenai punca kejadian ghaib itu, bapa saudara Siti, Derawi Said, 60, mengatakan bahawa Siti pernah terpijak kaca di hadapan rumahnya tiga bulan lalu. Apabila melihat di sekitar tempat tersebut, tiada sebarang kaca pun yang ditemui.
"Pada mulanya, Siti mengadu kakinya luka akibat terpijak kaca. Melihat kakinya yang berdarah teruk, kami membawanya ke hospital Jertih sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.
"Beberapa orang doktor pakar telah memeriksa kaki Siti yang luka teruk sehingga melibatkan urat-urat kakinya sebelum menjangkiti ibu jari kakinya. Setelah kakinya pulih, seminggu selepas itu berlakulah kejadian ghaib ke atas dirinya sehingga kini," jelas Derawi panjang lebar tentang asal kejadian itu.
Difahamkan Siti pernah ghaib lebih 100 kali dalam tempoh tiga bulan. Dan kemudiannya ditemui semula tidak sampai 24 jam. Antara lokasi penemuannya itu adalah di atas pokok manggis, di tepi pokok pisang, dalam mesin pembancuh simen, di atas syiling rumah dan berdekatan tanah perkuburan di sekitar kawasan rumahnya.
Cuba pelbagai bomoh
Namun kejadian terbaru yang berlaku pada Siti pada 25 Oktober lalu, agak misteri. Dia dilaporkan hilang dan ditemui semula dua hari kemudian di rumah kenalannya di Kampung Hulu Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan dalam keadaannya yang semakin teruk.
Menurut Derawi, setelah pulang dari rumah kenalannya, Norwaniza Ramli, 19, Siti tidak makan dan minum. Malah, dia asyik tidur sahaja di dalam biliknya yang berkunci. Dia juga tidak mahu bercakap dan hanya mendiamkan diri.
"Kami sekeluarga sudah tidak tahu nak buat apa lagi. Pelbagai usaha sudah kami lakukan tapi Siti tetap begitu. Baru-baru ini ada rombongan tiga orang ustaz dari Maktab Perguruan Besut, datang untuk mengubati Siti.
"Tapi keadaan itu hanya akan pulih buat seketika dan kemudiannya kejadian yang sama akan berulang lagi.
"Setakat ini, sudah lebih 100 bomoh dan pengamal perubatan yang telah merawat Siti. Saya amat berharap agar Siti dapat pulih seperti biasa dan kembali membantu ibunya berniaga di warung kopi milik mereka sekeluarga," ujar abang sulung kepada ibu Siti Balqis, Norizan Said, 47.
Batu permata sebagai balasan
Menurut Derawi lagi, satu kejadian aneh pernah berlaku selepas Siti dibawa ke tanah perkuburan apabila 15 biji batu permata pelbagai jenis telah luruh dari atap rumahnya selama dua hari.
Ini sekali gus menambahkan lagi elemen misteri dalam kehidupan gadis tersebut. Paling menghairankan, di bahagian bawah beberapa batu permata itu terdapat kalimah Allah, Muhammad dan gambar Kaabah.
Sebiji daripadanya, Derawi serahkan kepada pengamal perubatan Islam, Sharhan Shafie dari Kuala Lumpur yang telah secara sukarela merawat keluarganya selama tiga hari berturur-turut. Anehnya, selepas lima hari dalam simpanan, kesemua batu-batu permata itu juga ghaib.
"Batu-batu itu tidak jatuh serentak. Ia luruh satu demi satu sehingga berjumlah 15 biji. Kemudian, kami disuruh oleh Ustaz Sharhan masukkan kesemua batu-batu itu di dalam air zam-zam yang dibacakan ayat Kursi.
"Ramai orang dari merata tempat datang ke rumah untuk menyaksikan keajaiban batu-batu tersebut. Saya dan keluarga Siti Balqis tidak berani melakukan apa-apa terhadap batu tersebut demi keselamatan diri. Genap lima hari batu-batu tersebut bersama bekas air zam-zam ghaib tak tahu ke mana," cerita Derawi yang sentiasa memantau pergerakan Siti Balqis sehingga ke hari ini.
*Kisah ini diambil dari Majalah Keluarga Harmoni keluaran Nov 2010
Penulis asal: Zylla Ahmad
No comments:
Post a Comment