Sunday, February 20

Ke mana hala tuju Mesir???

Selepas berjaya menjatuhkan pemerintahan kuku besi Presiden Hosni Mubarak pada 11 Februari lalu, masa depan Mesir ke arah perubahan demokrasi masih menjadi tanda tanya.


Apakah kemungkinan perubahan di Mesir tidak berjaya?


Keputusan majlis tentera Mesir yang masih menggunakan kerajaan Perdana Menteri, Ahmad Shafiq yang dilantik Mubarak sebagai kerajaan sementara mencetuskan kebimbangan. Selain itu, tindakan tentera membekukan perlembagaan juga dilihat langkah berisiko kerana tentera boleh mengambil keputusan atas kepentingan angkatan itu dan bukannya untuk kebaikan negara. Tentera Mesir perlu terus diberikan tekanan oleh rakyat supaya saki-baki rejim Mubarak terhapus sama sekali dan kerajaan sementara yang baru perlu ditubuhkan sehingga pilihan raya. Jika tidak, keadaan bakal menjadi tidak terkawal jika tentera tidak mentadbir dengan baik pada saat kritikal ini. 


Siapa pihak paling terjejas dalam revolusi Mesir?


Dalam jangka masa pendek, mereka yang paling terjejas adalah pemimpin autokratik rantau itu yang terpaksa berhadapan dengan semangat kebangkitan rakyat masing-masing. Dalam jangka masa panjang, negara seperti Israel, Arab Saudi dan Iran dilihat bakal mendapat kesan buruk akibat revolusi di Mesir yang bakal menjejaskan kepentingan masing-masing di rantau itu jika rakyat ketiga negara memutuskan untuk menuntut perubahan politik.


Bagaimana revolusi ini dilihat akan mencapai matlamatnya?


Bagi penduduk Mesir, mereka perlu terus meyakinkan angkatan tentera bahawa kebangkitan yang dilancarkan bukan hanya untuk mengubah landskap politik negara itu pada permukaan sahaja tetapi bagi menghapuskan cara pentadbiran lama yang penuh kepincangan. Dan tentu sekali rakyat Mesir perlu bertahan dan terus memberi tekanan kepada kerajaan tentera atau kerajaan sementara negara itu bagi melakukan perubahan. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment