MAYAT bayi yang ditemui diletakkan di kawasan semak di tepi Sungai Kayu Ara di Petaling Jaya semalam.
PETALING JAYA - Mayat seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan dijumpai dalam sebuah beg plastik yang ditinggalkan di tepi Sungai Kayu Ara dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, mayat bayi itu ditemui pada pukul 3 petang oleh seorang lelaki yang pergi memancing di sungai itu.
"Lelaki itu terus menghubungi bilik gerakan memaklumkan mengenai penemuan mayat bayi yang diisi dalam beg plastik berwarna putih.
"Semasa ditemui bayi itu tidak berpakaian dan turut ditemui dalam beg plastik itu dipercayai uri bayi itu," kata beliau kepada pemberita di sini semalam.
Menurut beliau, mayat bayi itu dipercayai dibuang dalam tempoh kurang 24 jam sebelum ia ditemui.
Mayat bayi yang sudah cukup sifat itu kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat. - Kosmo!
No comments:
Post a Comment