TEMERLOH - Pemilik cicak tokek atau gecko boleh didenda sehingga RM100,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali sekiranya memiliki haiwan tersebut tanpa kebenaran sah mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang dikuatkuasa pada 28 Disember tahun lalu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Khairiah Mohd. Shariff berkata, pemilik haiwan seperti lintah, murai kampung, kura-kura, tuntung, labi-labi, sesetengah jenis siput serta katak, burung dan sarang tempua juga memerlukan kebenaran sah.
"Pemilik haiwan tersebut yang masih belum memiliki lesen, perlu memohonnya sebelum Jun ini dan jika gagal mereka akan dikenakan tindakan berat," katanya pada sidang akhbar di pejabat Perhilitan Temerloh di sini semalam.
Mengulas kadar bayaran lesen, katanya, pihak Perhilitan masih menyemak perkara itu dan akan diumumkan sebelum Jun ini.
Tambahnya, lesen memburu kijang dan rusa pula akan terus dibekukan sehingga 2015 di seluruh Semenanjung memandangkan bilangan haiwan tersebut yang semakin berkurangan.
Sementara itu, katanya, Perhilitan merampas pelbagai jenis haiwan serta organ dan daging pelbagai spesis haiwan dilindungi bernilai kira-kira RM500,000, selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Kubang Rusa, Kuala Lipis pada pukul 10 pagi kelmarin.
Katanya, dalam serbuan itu, seorang lelaki berumur 44 tahun ditahan dan pihaknya merampas kuku dan kulit harimau, 16.8 kilogram daging dipercayai kijang, seekor burung ruak-ruak, dua ekor pelanduk yang dilapah dan 54 bulu pelepah burung kuang bernilai RM30,000.
"Dalam serbuan hari yang sama di sebuah rumah di Janda Baik, Bentong, Perhilitan merampas seekor burung kakak tua jenis kokato jambul sulfur dan dua ekor burung bayan kecil bernilai lebih RM10,000 serta menahan seorang lelaki berumur 41 tahun," katanya.
Sehari sebelum itu, katanya, pihaknya menyerbu sebuah rumah di Kampung Kerayong, Bera dan merampas empat organ kaki dan 13 kilogram daging babi hutam serta menahan dua lelaki berumur 37 dan 72 tahun dan seorang wanita berumur 51 tahun.
Katanya, semua suspek yang ditahan akan disiasat dan didakwa mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
PEMILIK cicak tokek boleh didenda dan dipenjara sekiranya membela haiwan itu tanpa lesen.
No comments:
Post a Comment