GEORGE TOWN - Lelaki yang gemar menyimpan telefon bimbit di dalam poket seluar berdepan risiko kerosakan sperma termasuk mati pucuk.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S.M. Mohamed Idris mendakwa penggunaan telefon bimbit untuk tempoh yang panjang didakwa mengurangkan produktiviti sperma lelaki.
Ini berikutan hasil kajian CAP tahun lalu menunjukkan kaitan antara sperma berkualiti rendah dengan tempoh penggunaan telefon bimbit dalam sehari.
Menurut beliau, pengguna yang membuat panggilan telefon bimbit lebih daripada empat jam sehari mempunyai bilangan sperma yang paling kurang dan paling rendah kualitinya.
PENGGUNA dinasihatkan lebih kerap menggunakan mod pembesar suara pada telefon bimbit untuk mengelak kesan langsung elektromagnetik- GAMBAR HIASAN
"Penemuan itu menyarankan bahawa berjuta-juta lelaki di dunia ini kemungkinan menghadapi kesukaran menjadi bapa kerana kerap menggunakan telefon bimbit.
"Oleh itu, penggunaan telefon bimbit secara berlebihan antara faktor yang menyumbang kepada penurunan bilangan sperma selain obesiti, merokok, tekanan, pencemaran dan bahan kimia yang mengganggu sistem hormon," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Mohamed Idris mendakwa, lelaki yang gemar meletakkan telefon bimbit dalam sarung yang disangkutkan pada tali pinggang atau poket seluar terdedah kepada gelombang elektromagnetik yang lebih tinggi.
Katanya, bagi wanita, mereka yang sering meletakkan telefon bimbit dalam beg sandang yang dikepit di sebelah payu dara juga boleh memberi kesan terhadap kesihatan dalaman.
Untuk itu, CAP mencadangkan supaya orang ramai lebih kerap menggunakan mod pembesar suara pada jarak 20 sentimeter dari kepala. - Kosmo!
No comments:
Post a Comment