Tuesday, March 8

Jumlah pengunjung 'pokok petai menangis' merosot

TERPEGUN... air yang keluar dari dahan pokok petai ditadah dan diminum kerana kononnya boleh dijadikan penawar pelbagai penyakit.


KEPALA BATAS - Para pengunjung yang menyaksikan pokok petai menangis di Kampung Lembah Raja, Pinang Tunggal di sini merosot mendadak semalam setelah Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengeluarkan amaran bahawa air pokok tersebut mungkin mengandungi virus kencing tikus (leptospirosis) .


Pemilik pokok tersebut, Norhayati Abdul Karim, 38, memberitahu kenyataan CAP yang dilaporkan di dalam Kosmo! semalam telah memberi kesan yang besar terhadap kehadiran orang ramai yang ingin menyaksikan keunikan pokok itu.


Sebelum ini katanya, ramai yang datang untuk mengambil air dari pokok untuk diminum atau disapu pada badan dan muka kononnya berupaya untuk menyembuhkan pelbagai penyakit.


"Pihak Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP) juga telah meletak papan tanda amaran pada pokok itu sebelum ini, supaya orang ramai tidak melakukan sebarang aktiviti yang bercanggah dengan ajaran Islam tetapi orang ramai tetap berpusu-pusu untuk melihat dan mengambil air dari pokok itu.


ORANG ramai berpusu-pusu datang ke rumah Norhayati untuk menyaksikan 'pokok petai menangis'.


"Tapi setelah CAP keluarkan kenyataan bahawa air dari pokok itu berkemungkinan mempunyai virus kencing tikus di dalam akhbar hari ini (semalam), jumlah orang ramai yang datang ke sini serta-merta berkurangan.


"Mungkin orang ramai mula takut mereka akan dijangkiti penyakit berjangkit seperti yang didakwa oleh CAP," katanya.


Kosmo! semalam melaporkan bahawa CAP mengingatkan orang ramai agar tidak meminum air yang kononnya keluar dari batang pokok petai menangis itu kerana ia mungkin mengandungi virus kencing tikus. - Kosmo!

No comments:

Post a Comment