Tuesday, March 15

Padah Cendawan Busut

'Sekeluarga cirit-birit, muntah selepas makan cendawan goreng'


MAHDZIR masih dirawat di HSB akibat keracunan selepas makan cendawan tahun di Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Kegembiraan seorang bapa menghidangkan juadah istimewa, cendawan busut untuk keluarganya membawa padah apabila kesemuanya dikejarkan ke hospital petang kelmarin akibat keracunan.


Mangsa yang masih menerima rawatan di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini ialah Mahdzir Baharom, 53, serta tiga anaknya iaitu Siti Nor Hidayah, 22, Siti Nor Baizuri, 17, dan Syafiqah, 13.


Sementara isteri Mahdzir, Faridah Yusof, 50, dibenarkan pulang ke rumah lewat malam kelmarin apabila keadaannya yang tidak serius.


Mahdzir ketika ditemui di wad HSB berkata, dia tidak menyangka tindakannya mengutip dan memasak cendawan busut atau turut dikenali sebagai cendawan tahun untuk hidangan tengah hari mengakibatkan dia sekeluarga terlantar di hospital.


"Saya nampak cendawan ini tumbuh segar di tepi sungai, kira-kira 200 meter dari rumah dan terus mengutipnya kerana cendawan ini hanya tumbuh sekali setahun pada musim hujan sahaja.


"Kemudian, saya bawa pulang kira-kira 500 gram cendawan tahun itu, bersihkan dan goreng dengan cili," katanya di sini semalam.


Menurutnya, dia merupakan orang pertama menjamah hidangan iaitu kira-kira pukul 11.30 pagi sebelum keluar berniaga ais kacang di sekitar Kota Sarang Semut, dekat sini pada pukul 2 petang.


"Ketika berniaga, saya berasa pening dan mual serta muntah lebih 10 kali sepanjang perjalanan pulang ke rumah iaitu sejauh 15 kilometer.


"Sebaik sampai di rumah, saya nampak isteri dan tiga anak sudah terbaring lemah di ruang tamu kerana muntah dan cirit-birit," ujarnya yang merupakan pesara tentera.


Menyedari keadaan bertambah buruk, dia segera menelefon abangnya yang kemudian menghubungi ambulans.


"Saya dan tiga anak muntah teruk manakala isteri kurang serius kerana dia hanya makan sedikit juadah cendawan tahun itu," jelasnya.


Sementara itu, isterinya Faridah berkata, dia kini trauma untuk menjamah hidangan cendawan liar kerana bimbang kejadian sama berulang.


"Nasib baik kami cepat dibawa ke hospital, kalau lambat sedikit mungkin nyawa kami melayang.


"Mungkin cendawan busut yang suami saya jumpa itu terkena racun yang disembur di kawasan itu," ujarnya.


Mangsa mungkin keliru jenis cendawan


KUALA LUMPUR - ada kemungkinan keluarga tersebut tersalah makan cendawan beracun yang disangka cendawan tahun atau lebih dikenali sebagai cendawan busut.


Menurut pensyarah biologi di Pusat Pengajian Sains Persekitaran dan Sumber Alam, Fakulti Sains dan Teknologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Johari Jalinas, berdasarkan morfologi cendawan, terdapat beberapa persamaan yang boleh mengelirukan orang ramai yang tidak arif mengenai cendawan.


"Berdasarkan gambar, berkemungkinan cendawan yang dimakan oleh mangsa ialah daripada jenis Lepiota sp. yang bahaya kepada manusia," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.


Jelas Johari, perbandingan asas antara kedua-dua cendawan itu ialah akar cendawan busut akan bersambung dengan anai-anai apabila ditarik keluar dari tanah.


"Oleh kerana sifat anai-anai adalah pembersih, cendawan busut selamat dimakan," tambah beliau.


Selain itu, setiap cendawan atau kulat yang dipetik dihabitat asal perlu dibersih dan dimasak dengan sempurna.


Menurut Johari lagi, cendawan tahun atau dipanggil sebagai cendawan busut di beberapa negeri sememangnya tidak memberi kesan kepada manusia.


"Namun disebabkan cendawan ini biasanya tumbuh di ladang kelapa sawit, risiko amat tinggi sekiranya ia dipetik selepas aktiviti meracun," ujarnya.


CENDAWAN busut yang dimakan lima sekeluarga sehingga menyebabkan kercunan di Alor Setar semalam.

No comments:

Post a Comment