Wednesday, March 30

Ahli geng Mat Ju diberkas

KUALA LUMPUR - Polis memberkas tiga ahli geng Mat Ju yang aktif melakukan 10 kes pecah rumah di Lembah Klang dalam operasi khas, baru-baru ini.


Ketuanya dikenali Mat Ju bagaimanapun meloloskan diri sewaktu serbuan itu.


Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, polis mengesan semua suspek selepas seorang mangsa membuat laporan pada 22 Mac lalu.


Katanya, mangsa yang juga pengurus teknologi maklumat berusia 32 tahun itu mendapati tingkap rumahnya terbuka, kira-kira jam 7.30 pagi.


Katanya, empat bentuk cincin emas dan wang tunai berjumlah RM4,000 dilarikan suspek.


Susulan itu, kita berjaya mengesan empat suspek termasuk seorang wanita, menaiki sebuah kereta Honda Stream di Lembah Pantai.


Suspek memecut sehingga melanggar tiga kereta di tepi jalan sebelum tiga daripada mereka diberkas di Seksyen 16, Petaling Jaya setelah kenderaan terbabit terbabas," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, semalam.


Katanya, pemeriksaan menemui pelbagai senjata antaranya parang, pisau dan alat renjatan elektrik serta alat pecah rumah.


Beliau berkata, turut ditemui wang tunai, dompet, kad kredit dan kad bank dipercayai milik mangsa samun.


"Kereta terbabit dikenal pasti kenderaan curi yang dilaporkan hilang di Kajang baru-baru ini," katanya.


Wan Abdul Bari berkata, suspek direman mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 akta sama untuk siasatan.

Tuesday, March 29

Perak haramkan tarian poco-poco

"Mufti sifatkan tarian bercirikan agama Kristian, tidak sesuai dengan budaya masyarakat Islam"

IPOH - Tarian poco-poco yang popular sebagai aktiviti riadah dalam kalangan suri rumah dan penjawat awam ketika menghadiri kursus dan majlis keraian telah diputuskan sebagai haram oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak baru-baru ini.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, tarian tersebut diharamkan kerana ia mempunyai unsur kepercayaan agama lain iaitu agama Kristian selain pemujaan roh.

Katanya, keputusan sebulat suara itu dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak kali ke-186 yang bersidang dari 24 hingga 26 Januari lalu.

"Kajian mendapati tarian yang sering diamalkan di Jamaica itu bercirikan agama Kristian. Oleh itu haram bagi orang Islam mengamalkannya," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau berkata demikian, sebagai mengulas penyebaran sepucuk surat pekeliling mengenai pengharaman tarian poco-poco dalam Internet baru-baru ini.

Surat bertarikh 28 Februari 2011 itu yang ditandatangani oleh Harussani ditujukan kepada Persatuan Kakitangan Islam Malayan Banking cawangan Perak.

Harussani juga mengesahkan kesahihan surat pekeliling itu memang dikeluarkan oleh Jabatan mufti Perak setelah persatuan tersebut memohon kepastian beliau mengenai hukum mengamalkan tarian poco-poco.

Beliau memberitahu, pewartaan fatwa pengharaman tarian itu akan dibuat dalam masa terdekat.

Susulan kenyataan:

Pengharaman boleh kelirukan masyarakat

KUALA LUMPUR - Tindakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak mengharamkan tarian poco-poco di negeri itu berkuat kuasa baru-baru ini boleh mencetuskan kekeliruan kepada masyarakat umum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang mengulas pengharaman itu berkata, oleh kerana ia merupakan isu nasional jawatankuasa tersebut sepatutnya merujuk isu tersebut kepada Majlis Fatwa Kebangsaan untuk membuat keputusan.

"Isu tersebut perlu mendapat kesepakatan ulama untuk memutuskan hukumnya supaya masyarakat tidak keliru.

"Ia juga patut dibincangkan di peringkat kebangsaan supaya keputusannya memberi manfaat kepada seluruh masyarakat Islam di negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muzakarah Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan di sini malam tadi.

Sunday, March 27

Biri-biri lahirkan anak anjing

XIAN, China - Pakar-pakar veterinar menyatakan ia mustahil, tetapi seorang petani, Liu Naiying menganggap kelahiran anak anjingnya sebagai satu keajaiban.


ANAK anjing dan induk biri-biri yang melahirkan mamalia itu di wilayah Shaanxi, China.


Naiying mendakwa, anak anjing itu dilahirkan oleh seekor biri-biri betina peliharaannya di ladangnya dekat sini, wilayah Shaanxi, tengah China. 


Menurut petani tersebut, badan anak anjing itu dipenuhi bulu seperti seekor biri-biri tetapi mulut, hidung, mata, tapak kaki, dan ekornya menyerupai anjing, malah mamalia itu juga gemar bermain bersama anjing-anjing lain.


"Saya sedang menggembala biri-biri baru-baru ini apabila melihat seekor biri-biri menjilat anaknya yang baru lahir. Saya terkejut melihat anak biri-biri itu menyerupai seekor anjing," kata Naiying.


Kini, ladangnya dikunjungi oleh ramai penduduk setempat dan luar daerah yang mahu melihat sendiri anak anjing pelik itu.


Mengulas mengenai kes itu, seorang sanintis di sebuah pusat penyelidikan haiwan tempatan, Yue Guozhang berkata, anjing dan biri-biri merupakan dua spesis berbeza. 


"Mustahil biri-biri boleh bunting dengan anak anjing. Namun, ia seekor anak biri-biri yang ganjil," katanya.

Pokok dipenuhi sarang labah-labah

DUA batang pokok dipenuhi dengan sarang labah-labah di wilayah Sindh, Pakistan.


KARACHI, Pakistan - Sejumlah pokok di wilayah Sindh dekat sini dipenuhi dengan sarang labah-labah sehingga menghasilkan satu pemandangan yang menyeramkan.


Walaupun kejadian banjir melanda Pakistan tahun lepas, tetapi terdapat air yang masih lagi tidak surut sepenuhnya menyebabkan banyak serangga kecil menjadikan pokok sebagai tempat tinggal.


Menurut penduduk tempatan, mereka tidak pernah melihat fenomena tersebut berlaku sebelum ini tetapi sarang labah-labah itu telah berjaya mengurangkan populasi nyamuk.


Sebahagian besar kawasan bencana yang melanda Pakistan masih lagi belum surut selepas enam bulan hujan lebat melanda negara itu.


Fenomena pokok yang menggerunkan itu pula adalah kesan terbaru akibat banjir besar yang telah menyebabkan 2,000 orang terbunuh.

Fakta Kerosakan Rambut

SESETENGAH wanita sanggup membelanjakan sejumlah wang untuk memiliki mahkota kepala yang menawan tanpa menyedari teknik dan produk yang digunakan merosakkan rambut. Pada masa yang sama, mereka tidak melepaskan peluang mencuba pelbagai stail rambut mengikut trend semasa yang dipaparkan menerusi media cetak dan elektronik. Ia termasuklah terpengaruh dengan gaya rambut kelompok selebriti dan barisan model.


Namun, apa yang menyedihkan, tindakan mencuba-cuba itu telah menyebabkan rambut rosak dan kusam. Ia secara tidak langsung menyebabkan wanita menjadi gerun untuk terus bereksperimen dengan teknik yang digemari.


Ini terbukti menerusi kaji selidik yang melibatkan 1,000 orang wanita. Hasil kajian berkenaan mendapati sebanyak 40 peratus wanita terpaksa berhenti mencantikkan rambut disebabkan faktor-faktor seperti berikut :-


Pengering Rambut


PENGGUNAAN pengering rambut antara penyebab utama kerosakan rambut. Haba panas yang disua pada helaian rambut yang basah menyebabkan rambut menjadi kering dan rapuh.


Mengikat Rambut


IKATAN ala ekor kuda merupakan teknik yang paling popular dalam kalangan wanita di seluruh dunia. Ia mudah untuk dipraktikkan dan membuatkan penampilan tampak kemas dan ranggi. Namun, menyedari ikatan gelung getah yang kuat pada rambut menyebabkan rambut gugur dan lama-kelamaan menjadi rapuh.


Melurus Dan Mengerinting


TAHUKAH anda, produk rambut yang disapu pada rambut sebelum melakukan teknik melurus dan mengerinting akan menjejaskan kesihatan rambut asal. kedua-dua teknik tersebut bukan sahaja menyebabkan rambut rosak, malah hujung rambut turut bercabang serta kering.


Mewarnakan Rambut


TIDAK dinafikan, saban tahun wanita terdedah pada warna-warna rambut menarik dan menawan. Pilihan itu mendorong wanita tegar menukarkan rambut hitam mereka untuk diwarnakan dengan rona merah, ungu atau coklat. Tetapi kekerapan melakukan teknik itu menyebabkan rambut mudah terdedah kepada pewarna yang mengandungi bahan kimia yang menyebabkan rambut menjadi kasar.

Ketawa Pengubat Segala Duka : : Cerita Dua Ekor Hantu

Maka tersebutlah kisah dua ekor hantu bertemu di sebuah kawasan yang tidak diketahui lokasinya. Panjang lebar dua ekor hantu ini berborak sejarah hidup masing-masing. Sepanjang berborak, Hantu A melihat Hantu B asyik menggigil tanpa henti. Hantu A yang merasa hairan lantas bertanya:


Hantu A : Kenapa kau asyik menggigil?


Hantu B : Oh..... cara aku mati dulu teruk. Aku mati dalam peti ais...sejuk beku!


Hantu A : Oh... kesian kau...aku pula dulu mati sebab serangan jantung!


Hantu B : Ishh! Ishhh! Kenapa engkau tak buat pembedahan by pass? Kalau tak mesti kau tengah lepak dengan bini kau sekarang!


Hantu A : Aku dah buat dah. Tapi tak jadi pun. Ceritanya panjang....


Hantu B : Ceritalah sikit!


Hantu A : Macam ni, aku syak bini aku main kayu tiga. Jadi aku ingat nak perangkap bini aku tu. Aku pura-pura pergi kerja, padahal aku letak kereta di hujung  simpang. Seperti aku jangka, ada sebuah kereta parkir masuk garaj aku. Ada seorang lelaki tak dikenali selamba masuk dalam rumah aku. Aku tunggu masa.... nak cekup!


Hantu B : Kau dapat cekup si jantan tu?


Hantu A : Tak. Hairan betul. Aku jumpa bini aku dalam bilik. Si jantan ghaib.


Habis satu rumah aku cari tapi tak jumpa. Aku cari dalam bilik, di dapur, tak jumpa pun. Sebab penat sangat cari, aku pengsan kena serangan jantung. Tak disangka-sangka pula kau mati!


Hantu B terdiam mendengar cerita Hantu A. Selepas beberapa ketika, Hantu B bekata: Kenapa kau tak cari dalam peti sejuk? Kalau kau check kat situ, kita berdua tentu hidup lagi!!!!

Ketawa Pengubat Segala Duka : : Cabut Gigi

Seorang doktor gigi hendak mencabut gigi geraham seorang wanita tua. Tiba-tiba wanita itu menggenggam kerandut telur doktor gigi itu dan berkata: "Kalau doktor buat sampai saya rasa sakit, siap!"