"Raih 126,168 undi ungguli anugerah tertinggi ABPBH 2010 atasi empat calon lain"
SHAHEIZY SAM menerima trofi daripada Anthony Firdauz sambil diperhatikan oleh Meor Kamarul di Genting Highlands, malam tadi.
GENTING HIGHLANDS - Pelakon utama filem Adnan Sempit dan Ngangkung, Shaheizy Sam mencipta sejarah apabila muncul pelakon lelaki ketiga dipilih untuk gelaran Bintang Paling Popular apabila mengungguli hadiah tertinggi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010, di sini malam tadi.
Shaheizy, 29, meraih 126,168 undi memenangi gelaran itu selepas mengetepikan saingan empat artis lain yang mendapat undi tertinggi, iaitu Shahir, Zizan, Aznil Nawawi dan Faizal Tahir.
Beliau turut memenangi hadiah keseluruhan bernilai RM310,000, iaitu kenderaan Nissan Teana 2.0 berharga RM133,400 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd, aksesori mutiara putih koleksi Primadona Klasik tajaan Rafflesia/Mandalay bernilai RM180,000 hadiah iringan dan trofi.
Shaheizy juga memenangi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular.
Trofi Bintang Paling Popular 2010 disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Anthony Firdauz Bujang pada majlis kemuncak ABPBH 2010 di arena of Stars, di sini bertemakan Moden & Klasik dengan disaksi lebih 5,000 penonton.
Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Bhd, Datuk Amrin Awaluddin dan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid. Majlis gilang-gemilang lebih dua jam setengah itu disiarkan secara langsung menerusi TV3, stesen radio Hot FM dan laman web rasmi, NSTP e-media.
Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat diberikan kepada seniwati veteran, Datuk Rosnani Jamil, 75, sebagai mengiktiraf sumbangan dan jasanya dalam bidang perfileman tanah air selama hampir 60 tahun.
Lisa Surihani mencipta kemenangan dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular, sementara Faizal Tahir menepati ramalan apabila menggondol gelaran Penyanyi Lelaki Popular.
Yuna mengungguli kategori Penyanyi Wanita Popular. Kategori berkenaan sebelumnya disandang 13 kali oleh Datuk Siti Nurhaliza.
Kategori Artis Berkumpulan/Duo Popular dimenangi kumpulan Sixth Sense, manakala Rabbani terus mempertahankan gelaran Penyanyi Nasyid Popular buat kali kesembilan. Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon TV Wanita Popular, masing-masing dimenangi Remy Ishak dan Fasha Sandha.
Juara program realiti Akademi Fantasia musin kelapan, Shahir, memenangi Artis Baru Lelaki Popular, manakala, Ana Raffali meraih gelaran Artis Baru Wanita Popular. Pelakon drama, Norkhiriah pula buat kali ketiga mengekalkan gelaran Artis Komedi Wanita Popular, manakala Zizan memenangi Artis Komedi Lelaki Popular.
Kategori Penyampai Radio Lelaki Popular dan Penyampai Radio Wanita Popular masing-masing dimenangi Faizal Ismail dan Fara Fauzana, dari stesen Hot FM. Fara Fauzana juga berjaya mengekalkan kemenangannya sebagai Pengacara TV Wanita Popular. Aznil Nawawi berjaya mengekalkan gelaran Pengacara TV Lelaki Popular buat kali kesembilan.
ANA RAFFALI ternyata gembira dengan tiga pencalonan yang diterimanya untuk Anugerah Bintang Popular 2010.
Persembahan ala Broadway pembuka tirai ABPBH 2010
Persembahan ala Broadway pembuka tirai ABPBH 2010
Persembahan pembukaan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010, puncak kegemilangannya di Arena of Stars di sini. MAlam ini amat dinantikan dengan konsep ala teater Broadway dan West End yang mampu menghangatkan lagi acara berprestij edisi ke-24 ini.
ABPBH 2010 yang bertemakan KlasikModen turut dipancar secara langsung menerusi TV3. Pengurus Besar Persatuan Akademi Muzik Malaysia, Jennifer Thompson, berkata, lapan slot persembahan dirancang bagi mengisi kehangatan edisi terbaru ABPBH.
Thompson berkata, kejutan dan gimik persembahan akan menjadi kenyataan berdasarkan kerjasama penuh yang diberikan oleh artis-artis, pemuzik, penyampai trofi dan tenaga produksi ABPBH 2010.
"Saban tahun, selain debaran menanti pengumuman bagi setiap kategori yang dipertandingkan, segmen persembahan boleh dikatakan menjadi tunjang untuk membuat penonton terus melekat di depan kaca televisyen atau Arena of Stars.
"Malah, nadi acara ini juga diperkemaskan oleh Raja Azura, Sharifah Shahira dan Zizan yang dipertanggungjawabkan sebagai hos. Mereka bukan sahaja berdebar untuk memastikan kelangsungan acara ini, malah turut bertanding," katanya.
Persembahan pembukaan berkonsepkan ala teater Broadway dan West End yang ditangani kolaborasi Azlan & The Typewritter, Ning Baizura, Farhan dan Adira telah mampu menghangatkan ABPBH 2010 sehingga persembahan penutup oleh penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza.
Artis lain yang turut membuat persembahan termasuk finalis Anuar Zain, Ella, Yuna, Artis Komedi Lelaki Popular ABPBH 2010 Zizan, Along, Angah, Johan dan Nabil, Hujan, Ana Raffali, Altimet, Sohaimi Meor Hassan dan Juara Bintang Idola Berita Harian (BIBH) 2009, Shima.
Barisan 15 pemuzik orkestra dipimpin oleh Datuk Ramli MS, manakala artis selebriti yang menyampaikan trofi pada malam anugerah ialah Anita Sarawak, Faizal Tahir, Fasha Sandha, Fizz Fairuz, Natasha Hudson, Dynas Mokhtar dan juara BIBH musim ini, Mohd Azhar Osman.
No comments:
Post a Comment